Pasangan beregu lelaki nombor 1 Malaysia, Nur Izzuddin-Goh Sze Fei melakar kejayaan baharu apabila merangkul gelaran juara India Open setelah menewaskan Kim Won Ho-Seo Seung Jae.
Setelah menyingkirkan jaguh tuan rumah di separuh akhir, Izzuddin-Sze Fei kini hanya selangkah untuk merangkul kejuaraan pertama 2025 apabila bertemu Won Ho-Seung Jae di final India Open.
Ini merupakan pertemuan sulung bagi kedua-dua pasangan dengan Izzuddin-Sze Fei berada di ranking ke-2 dunia dan beregu Korea ini baru sahaja muncul juara di Malaysia Open minggu lalu.
Permulaan cukup cemerlang ditampilkan oleh Izzuddin-Sze Fei apabila serangan menyilang selain smash tajam berjaya memberikan mata yang penting bagi mendahului permainan.
Beregu lawan cuba mengimbangi corak permainan Izzuddin-Sze Fei dengan mengekori rapat kedudukan di pertengahan aksi sebelum pasangan negara ini menang set yang pertama.
Bersambung di set kedua, Won Ho-Seung Jae tidak memberi peluang yang banyak untuk beregu Malaysia menyerang dan mula memerangkap Izzuddin-Sze Fei meraih mata mudah.
Seakan tertekan, Izzuddin-Sze Fei berusaha mencari semula momentum dan rentak namun itu semuanya sudah terlambat apabila giliran Won Ho-Seung Jae pula menang di set kedua.
Di set penentuan, rentak sebenar kembali ditemui Izzuddin-Sze Fei apabila cemerlang membalas setiap serangan dan akhirnya menutup aksi dengan jayanya dalam masa 53 minit.
Pertarungan di set pertama berakhir dengan keputusan 21-15, 13-21, 21-16.
Selaku juara, Izzuddin-Sze Fei membawa pulang 70,300 USD bersamaan RM316,797 dan 11,000 tambahan mata ranking.
Kali terakhir beregu lelaki negara muncul juara di India Open adalah pada tahun 2010 yang dimenangi oleh Zakry Latif-Fairuzizuan Tazari dan Choong Tan Fook-Lee Wan Wah pada 2009.