Kapten Harimau Malaya, Dion Cools menjadi pendorong Cerezo Osaka kembali mendapat rentak kemenangan.
Ini selepas pasukan itu menewaskan Shimizu S-Pulse menerusi penentuan sepakan penalti dalam aksi terbaru J-League 1 Wilayah Barat.
Selepas tewas kepada V. Varen Nagasaki dalam aksi sebelumnya, anak buah Arthur Papas mahu bangkit apabila bertemu dengan Shimizu.
Meskipun begitu, kecekapan penjaga gol pelawat, Togo Umeda kerap mengecewakan barisan serangan Cerezo diketuai Solomon Sakuragawa.
Hal ini memastikan kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan sehingga tamat 90 minit permainan. Hal ini membawa kepada penentuan sepakan penalti.
Cerezo memastikan kemenangan milik mereka dengan menewaskan Shimizu 4-2. Cools turut menjadi sebahagian daripada empat pemain kelab itu yang menyempurnakan penalti dalam aksi itu.
Persembahan bekas pemain pertahanan Buriram United itu turut diiktiraf Sofascore. Cools dipilih pemain terbaik Cerezo dengan markah 8.7.
Kini, Cools dan Cerezo mengalihkan fokus kepada perlawanan menentang Kyoto Sanga pada 14 Mac ini.