Advertisement
J3 League: FC Ryukyu Tewaskan Yokohama SCC & Luqman Hakim
Asia
MakanBola
YSCC

Penyerang muda negara, Luqman Hakim Shamsudin tidak berupaya menghalang kelab pinjamannya, Yokohama Sports & Culture Club (Yokohama SCC) daripada mengalami kekalahan ketiga dalam J3 League.

Ini selepas kelab itu tewas kepada FC Ryukyu dalam aksi terbaru J3 League yang berlangsung di Stadium Olahraga Okinawa hari ini.

Babak pertama menyaksikan Ryukyu mendominasi perlawanan. Bagaimanapun, mereka perlu menunggu sehingga minit ke-16 menerusi tandukan Yu Tomidokoro.

Tersentak, Yokohama SCC cuba bangkit memburu jaringan penyamaan. Malangnya, setiap gerakan mereka berjaya dipatahkan barisan pertahanan Ryukyu diketuai Shusei Yamauchi.

Hal ini memastikan tuan rumah selesa mendahului 1-0 sehingga rehat separuh masa perlawanan.

Bersambung pada babak kedua, Yokohama SCC terus menggandakan asakan bagi mendapatkan gol penyamaan tetapi gagal.

Sebaliknya, Ryukyu mendapat gol kedua menerusi pemain gantian, Haruto Shirai pada minit ke-65 selepas menewaskan penjaga gol Yokohama SCC, Jun Kodama.

Pelawat mendapat talian hayat apabila dianugerahkan sepakan penalti. Penalti tersebut mudah disempurnakan Koji Okumura pada minit ke-82.

Luqman kemudiannya masuk sebagai pemain gantian pada minit ke-84 dengan harapan dapat mengubah momentum perlawanan.

Malangnya, itu tidak berlaku dan keputusan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini menyaksikan Yokohama SCC berada di tangga tercorot J3 League dengan dua mata selepas lima perlawanan.

Selepas ini, Yokohama SCC bakal menentang Tottori untuk aksi J3 League seterusnya pada 24 Mac ini.