J3 League: Yokohama SCC Diikat Tottori, Kelibat Luqman Hakim Tidak Kelihatan
Asia
YSCC
Advertisements

Penantian kemenangan pertama kelab Luqman Hakim Shamsudin, Yokohama Sports & Culture Club (Yokohama SCC) dalam J3 League berterusan.

Ini selepas pasukan itu diikat Gainare Tottori dalam aksi keenam liga yang berlangsung di Stadium Nippatsu Mitsuzawa hari ini.

Selepas tewas kepada FC Ryukyu pada 20 Mac lalu, Yokohama SCC perlu segera meraih kemenangan jika mahu keluar daripada kelompok tercorot liga.

Advertisements

Seperti perlawanan lepas, Luqman kekal berada di bangku simpanan dengan jurulatih, Kazuki Kuranuki memilih kombinasi Promise Onye Ogochukwu dan Jorn Pedersen.

Lantas, sebaik perlawanan bermula, tuan rumah bermula dengan garang bagi mendapatkan kelebihan gol awal.

Advertisements

Yokohama SCC membuka tirai jaringan pada minit ke-20 menerusi penyerang import dari Nigeria, Ogochukwu.

Kesilapan penjaga gol Tottori, Riki Sakuraba yang terlepas kawalan bola pantas disambar Ogochukwu sebelum melepaskan rembatan ke arah gawang yang kosong.

Advertisements

Tersentak, Tottori cuba bangkit mencari gol penyamaan tetapi kelebihan 1-0 Yokohama SCC kekal bertahan sehingga rehat.

Bersambung pada babak kedua, Yokohama SCC berusaha mencari gol tambahan untuk menggandakan kelebihan mereka.

Advertisements

Percubaan terbaik mereka hadir pada minit ke-64 menerusi bek tengah, Yutaro Yanagi. Malangnya, percubaan pemain berusia 28 tahun itu tidak mengenai sasaran.

Kesungguhan Tottori memburu gol penyamaan akhirnya berhasil menerusi tandukan Kei Oshiro pada minit ke-92. Keputusan 1-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Keputusan itu turut menyaksikan Luqman hanya memanaskan bangku simpanan dengan Kuranuki hanya menggunakan empat pertukaran pemain.

Ini kali ketiga Luqman tidak diturunkan dalam perlawanan J3 League selepas perlawanan menentang Kataller Toyama dan FC Osaka.

Perlawanan hari ini merupakan perlawanan terakhir beliau sebelum menyertai kem Malaysia Bawah 23 Tahun (B-23) untuk kempen Piala Asia B-23 2024 pada 28 Mac ini.

Yokohama SCC meneruskan perjuangan mendapatkan kemenangan pertama tanpa khidmat Luqman dengan turun menentang Fukushima United pada 31 Mac ini.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram