Jairo Perlu 3 Minit, JDT ‘Senyum Lebar’
MakanBola
Johor Southern Tigers

Penyerang berbisa Johor Darul Ta’zim (JDT), Jairo Da Silva hanya memerlukan tiga minit untuk mencipta impak di Asia.

Peledak berusia 33 tahun itu masuk bagi menggantikan Bergson Da Silva pada minit ke-70 berdepan jaguh Asia, Vissel Kobe di Stadium Sultan Ibrahim.

Skuad Harimau Selatan mengharungi tempoh 60 minit tanpa jaringan menerusi gandingan Bergson-Figueiredo pada bahagian serangan.

Ketua jurulatih, Xisco Munoz membuat keputusan untuk melakukan dua pertukaran serentak bagi membawa masuk Jairo dan Yago Caesar.

Keputusan ini memberi impak segera selepas serangan balas pantas Yago berjaya menemui Jairo dalam kotak penalti.

Peledak berpengalaman ini bijak memperdaya barisan pertahanan Vissel Kobe sebelum melakukan hantaran kepada Marcos Guilherme.

Pemain sayap lincah itu tenang mengawal bola sebelum melepaskan rembatan kencang pada bahagian sisi gawang menewaskan penjaga gol, Shuichi Gonda.

Jaringan tunggal itu memastikan kemenangan tipis JDT 1-0 ke atas jaguh Jepun itu untuk meraih kemenangan ketiga peringkat kumpulan – mengumpul 11 mata untuk melonjak ke tangga keenam kumpulan. 

Skuad Harimau Selatan kini bagaimanapun masih perlu menunggu dengan dua pasukan iaitu Gangwon dan Ulsan HD masih berpeluang untuk memintas sekiranya melakar kemenangan pada aksi terakhir kumpulan.

Namun begitu, kedudukan JDT dilihat selamat berdasarkan faktor kelebihan jaringan dan mata terkumpul.