Normal bagi manusia terlupa sesuatu dalam hidupnya. Walaupun normal, ia amat menyusahkan lebih-lebih lagi jika berkaitan dengan pekerjaan. Jadi, alangkah terkejutnya dua penjaga garisan Brazil Fabricio Vilarinho dan Rodrigo Figueiredo apabila terlupa membawa bendera untuk perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022 antara Chile dengan Argentina.
Vilarinho dan Figueiredo hanya sedar tentang perkara itu sebaik tiba di Stadium Zorros del Desierto, Calama, Chile. Sedar bendera mereka masih dalam bilik hotel penginapan. mereka mengikat jaket warna cerah pada batang penyapu yang telah dipotong. Ia sudah cukup untuk digunakan sebagai bendera sementara sepanjang perlawanan.
Justeru, apabila penyokong kedua-dua pasukan melihat kelibat bendera sementara itu, ia mencetuskan rasa lucu dan tidak percaya dalam kalangan mereka. Bagi para penyokong, ia ibarat hiburan luar jangka untuk mereka sepanjang 90 minit perlawanan.
Perlawanan Chile-Argentina berakhir dengan kekalahan 2-1 kepada tuan rumah. Albiceleste mendahului menerusi sepakan cantik Angel di Maria. 10 minit kemudian, bintang Blackburn Ben Brereton Diaz menyamakan kedudukan menerusi tandukan cantik menewaskan penjaga gol Aston Villa, Emiliano Martinez.
Tetapi gol kemenangan pelawat diraih menerusi kecederaan kepada penjaga gol tuan rumah Claudio Bravo. Chile bersiap sedia membawa masuk pengganti bekas penjaga gol Barcelona itu apabila Rodrigo de Paul melepaskan sepakan dari jarak 30 meter. Bravo hanya mampu menampan sepakan tersebut dan ia dikuis masuk oleh Lautaro Martinez.
Bendera DIY penjaga garisan bukan satu-satunya perkara gila yang berlaku sepanjang perlawanan. Pada satu ketika, perlawanan terpaksa dihentikan selepas seekor anjing menceroboh masuk ke atas padang. Selepas ia berjaya dikawal dan dikeluarkan daripada padang, barulah perlawanan disambung semula.