Selepas memilih untuk tidak menyertai program Road To Gold (RTG) semalam, Lee Zii Jia kembali menjadi tumpuan apabila tersingkir daripada pusingan pertama Japan Masters 2023.
Juara Terbuka Artik 2023 itu terpaksa akur dengan kehandalan pemain perseorangan Denmark, Anders Antonsen.
Dari segi rekod pertemuan, Antonsen memiliki rekod baik dengan empat kemenangan daripada enam pertemuan sebelumnya.
Set pertama menyaksikan Zii Jia membuat kesilapan mudah sehingga pada satu ketika tertinggal jauh pada kedudukan 11-4.
Beliau kemudiannya berjaya mengejar sebelum kemudiannya mendahului pada kedudukan 18-18. Antonsen yang menduduki ranking ke-10 dunia berjaya merampas momentum perlawanan sebelum menang dengan keputusan 21-18.
Set kedua menyaksikan kedua-dua pemain bersaing sengit mendapatkan mata. Bagaimanapun, Zii Jia mula mendahului selesa pada kedudukan 10-7.
Dengan kelebihan 20-18, ramai menjangkakan anak jati Alor Setar, Kedah itu untuk meraih kemenangan dan mengheret perlawanan ke set penentuan.
Malangnya, itu tidak berlaku dengan Antonsen berjaya mengikat kedudukan 20-20. Dan itu sudah cukup bagi jaguh Denmark itu mendapatkan kemenangan straight set dengan keputusan 22-20.
Dengan kekalahan ini, tinggal Ng Tze Yong saja yang menggalas cabaran Malaysia dalam acara perseorangan lelaki.
Tze Yong berjaya mara ke pusingan kedua tetapi berdepan pemain pilihan utama kejohanan, Viktor Axelsen esok.