Jaringan Daniel Ting Jadi Bualan Warga ASEAN
MakanBola
Ratchaburi FC

Gol pemain pertahanan Harimau Malaya, Daniel Ting dalam saingan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) menjadi bualan warga ASEAN baru-baru ini.

Daniel mencatat gol sulungnya buat Ratchaburi menerusi rembatan lencong yang menembusi gawang Gamba Osaka dalam aksi suku akhir pertama ACL2.

Video gol tersebut kemudiannya dikongsikan akaun rasmi Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk saingan bola sepak Asia termasuk ACL2.

Ramai warga ASEAN kagum melihat gol yang dihasilkan Daniel. Seorang peminat bernama Luqman Amirul Haikal menyifatkan beliau mampu menjadi penyerang dengan rembatan tersebut.

“Daniel Ting sudah boleh jadi penyerang lepas ini,” katanya di ruang komen Instagram.

Turut senada dengannya ialah seorang lagi peminat bernama Mizie151. Dia percaya Daniel bakal menjadi pemain kesayangan Ratchaburi.

“Daniel Ting bakal menjadi pemain kesayangan Ratchaburi,” ujarnya. _Fzmhmd pula berharap Ratchaburi dapat menjadikan perpindahan pinjaman Daniel kepada perpindahan tetap.

“Ayuh, Ratchaburi. Beli terus Daniel Ting dari JDT (Johor Darul Ta’zim). Sudah beberapa perlawanan Daniel menunjukkan prestasi bagus,” katanya.

Menariknya, gol tersebut turut mengagumkan rakan sepasukan beliau di Ratchaburi, Jaroensak Wonggorn dan bekas pemain Sabah FC, Telmo Castanheira.

Ratchaburi dan Gamba akan berentap dalam aksi timbal balik pada 11 Mac ini untuk merebut tiket ke separuh akhir. Ini selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam aksi suku akhir pertama.