Bayern Munich kini terdesak mencari pengurus baharu setelah Thomas Tuchel sah meninggalkan pasukan tersebut akhir musim ini.
Bayern Munich mencatatkan musim yang suram setelah gagal mempertahankan kejuaraan liga daripada Bayern Leverkusen selain turut tersingkir dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah dan saingan Piala Jerman.
Enam calon pengurus yang berada dalam radar Bayern Munich sebagai pengganti Tuchel telah menolak jawatan pengurus Bayern Munich.
Malah Bayern turut menamakan Vincent Kompany untuk calon jawatan tersebut walaupun pasukan Burnley di bawah kendalian Kompany tersingkir daripada saingan Premier League musim ini.
Xabi Alonso, Ralf Rangnick dan Julian Nagelsmann antara calon awal yang menjadi pilihan Bayern namun ketiga-tiga pengurus telah menolak tawaran tersebut.
Pengurus Benfica, Roger Schmidt turut memilih untuk kekal bersama Benfica berbanding menyertai Bayern menurut laporan The Sun.
Roberto De Zerbi yang mengambil keputusan untuk meninggalkan Brighton pada akhir musim ini lebih berminat untuk kekal mengurus kelab Premier League dan tidak menerima sebarang tawaran daripada Bayern Munich.
Salah seorang pengurus di Premier League iaitu Oliver Glasner turut menjadi sasaran The Bavarians namun Crystal Palace meminta wang pampasan yang tidak masuk akal sebanyak £86 juta (RM513.6 juta) untuk khidmat Oliver Glasner.
Kini Bayern Munich sedang menghubungi Vincent Kompany untuk jawatan pengurus kelab setelah perbincangan untuk mengekalkan Tuchel gagal mencapai kata sepakat.
Hansi Flick dan Zinedine Zidane antara pengurus yang masih tidak mempunyai kelab namun Bayern ketika ini masih menumpukan perhatian terhadap Kompany berbanding dua nama besar itu.