Pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) memiliki dua misi berbeza menjelang perlawanan AFC Champions League Elite (ACLE) berdepan kelab Jepun, Sanfrecce Hiroshima minggu depan.
Selepas menempuh aksi sengit di Vietnam, JDT meneruskan perjalanan ke Jepun bagi membuat persiapan awal sebelum turun bertemu Sanfrecce Hiroshima dalam aksi penting ACLE minggu ini.
Kedudukan terkini dalam carta ACLE zon Timur menyaksikan JDT dalam posisi terbaik untuk melayakkan diri sekali lagi ke pusingan kalah mati, namun tentangan dari wakil Jepun akan jadi cabaran sebenar.
Keberadaan JDT di bumi Matahari Terbit ini membawa misi besar untuk mengutip mata sekaligus mengukuhkan posisi dalam kelompok 8 pasukan terbaik ke peringkat kalah mati nanti.
Malah, pasukan Harimau Selatan turut memikul cabaran getir bagi memecahkan badi kemenangan ke atas kelab-kelab dari Jepun apabila turun beraksi menentang Sanfrecce Hiroshima ini.
Dalam 11 pertemuan antara JDT dan kelab-kelab dari Jepun, cuma sekali sahaja gergasi bola sepak tanah air ini mencatat kemenangan selain dua keputusan seri beserta 8 kekalahan.
Untuk rekod, satu-satunya kemenangan yang dicatatkan JDT ke atas kelab Jepun adalah pada tahun 2019 lalu ketika mana menewaskan Kashima Antlers 1-0 di Stadium Larkin hasil gol Syafiq Ahmad.
Walau bagaimanapun, aksi JDT dan Sanfrecce Hiroshima ini akan menjadi pertemuan sulung antara kedua-dua pasukan, sekaligus bakal menghangatkan lagi aksi yang berlangsung di bumi Jepun ini.
Aksi Sanfrecce Hiroshima vs JDT akan berlangsung pada 10 Februari di Edion Peace Wing Hiroshima dengan sepak mula dijadualkan tepat jam 6 petang waktu Malaysia