Shopee Cup: Nam Dinh Sekat Hajat JDT Muncul Juara Kumpulan
MakanBola
Johor Southern Tigers

JDT terikat dengan pasukan Nam Dinh 1-1, menjadikan Harimau Selatan naib juara kumpulan B dalam aksi ke-5 saingan Shopee Cup 2025/26 di Stadium Thien Truong pada Khamis.

JDT menurunkan Andoni Zubiaurre di bahagian penjaga gol dengan Bergson da Silva sebagai ayam tambatan pasukan tersebut manakala Shane Lowry menggalas lilitan kapten Harimau Selatan.

Sementara itu, Nam Dinh membariskan Tran Nguyen Manh di benteng terakhir dan Percy Tau mengemudi jentera serangan kelab beliau.

Harimau Selatan melakukan percubaan pada awal babak pertama menerusi Bergson da Silva dan Manuel Hidalgo namun gagal menembusi gawang pasukan Nam Dinh.

Pasukan tuan rumah, Nam Dinh tampak menguasai 20 minit pertama aksi dengan melakukan lambakan percubaan dan serangan berbahaya ke kubu JDT tetapi kecekapan Andoni Zubiaurre harus diberi pujian.

Nam Dinh turut melancarkan percubaan berbahaya menerusi Nguyen Van Vi pada minit ke-21, namun rembatan tersebut gagal menembusi jaring pasukan pelawat.

Nam Dinh dihadiahkan sepakan penalti selepas Caio Cesar diasak dan dijatuhkan oleh Syahmi Safari di dalam kawasan kotak penalti sehingga dilayangkan kad kuning.

Gol pembukaan Nam Dinh hadir pada minit ke-33 menerusi Nguyen Van Vi yang pantas menyambar bola muntah susulan sepakan penalti Caio Cesar berjaya ditepis oleh penjaga gol JDT, Andoni Zubiaurre.

Jaringan tersebut kekal sehingga tamat separuh masa pertama perlawanan.

Aksi babak pertama berakhir dengan keputusan 1-0 memihak kepada pasukan julukan Thanh Nam.

Bersambung babak kedua aksi, JDT tampak meningkatkan intensiti permainan bagi mencari gol penyamaan aksi.

Harimau Selatan turut melakukan penggantian pemain dengan mengeluarkan Syamer Kutty dan memasukkan Afiq Fazail bagi menambah bisa di bahagian serangan.

JDT dilihat melakukan percubaan berbahaya pada awal babak kedua menerusi Bergson da Silva namun masih gagal menemui gol.

Nam Dinh sekali lagi memperoleh sepakan penalti selepas rembatan Nguyen Van Vi di dalam kawasan penalti JDT mengenai tangan Hector Hevel pada minit ke-51.

Andoni Zubiaurre berjaya menepis sepakan penalti yang diambil oleh Percy Tau, sekaligus mengekalkan kedudukan dengan Nam Dinh masih mendahului 1-0.

JDT dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-85 selepas sepakan percuma Joao Figueiredo mengenai tangan pemain Nam Dinh di dalam kawasan kotak penalti Thanh Nam.

Bergson menyudahkan sepakan penalti tersebut dengan penuh bergaya sekali gus memastikan kemaraan pasukan Harimau Selatan ke peringkat separuh akhir Shopee Cup musim ini.

Perlawanan tamat dengan keputusan terikat 1-1 bagi kedua-dua pasukan di Stadium Thien Truong pada Khamis.