Ketua pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Jordi Amat mendedahkan sebab utama JDT berlepas awal ke China bagi menghadapi Shandong Taishan dalam saingan Asian Champions League Elite (ACLE).
Untuk rekod, JDT sudah tiba di China sejak Khamis iaitu 21 November yang lalu biarpun sehari sebelumnya JDT turun beraksi dalam saingan Piala FA bertemu Kuala Lumpur Rovers FC.
Jordi Amat menegaskan beliau dan rakan sepasukan berlepas awal ke China untuk menyesuaikan diri dengan cuaca yang sejuk melampau di negara tersebut.
“Kami di sini (China) sekali lagi. Kami datang ke sini tiga hari lalu (Khamis) untuk menyesuaikan diri dengan cuaca. Bagi kami, terutamanya hari ini agak sejuk.
“Pasukan (JDT) sedang berlatih dengan baik. Kami menikmati sesi latihan. Segalanya sudah bersedia untuk esok (hari ini),” jelas Jordi Amat dalam sidang media pra perlawanan yang dilangsungkan pada Isnin.
Jika dilihat kepada cuaca di Shandong, China sejak beberapa hari kebelakangan ini, sememangnya agak sejuk sehingga pada satu ketika ianya mencapai -4 darjah celcius.
Tindakan JDT untuk berlepas awal ke China pasti merupakan satu keputusan yang tepat kerana perbezaan cuaca di Malaysia dan China mampu memberi kelebihan buat Shandong Taishan.