Juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) berkemungkinan akan memberi peluang kepada pasukan Kelantan untuk menggunakan khidmat pemain mereka bagi memantapkan pasukan.
Ura-ura ini mula diperkatakan selepas perkongsian pemilik kelab, Norizam Tukiman menerusi laman Facebook beliau hari ini.
Individu yang mesra disapa Zamsaham ini memberitahu bahawa ada peluang buat pasukan The Red Warriors diperkuat dengan beberapa pemain dari Harimau Selatan.
Perkara ini juga mula diperkatakan ketika pertemuan antara Duli Yang Amat Mulia, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) dan juga Zamsaham tempoh hari.
Namun begitu, menerusi perkongsian Zamsaham ini, dapat difahami bahawa berkemungkinan terdapatnya perbincangan antara dua pihak untuk membantu memulihkan prestasi pasukan.
“Mudah-mudahan ada rezeki untuk dapat meminjam pemain untuk TRW,” tulis Zamsaham pada hantaran tersebut.

Kerjasama ini juga sudah terjalin antara JDT dengan beberapa pasukan seperti Sri Pahang yang mendapatkan khidmat 4 pemain secara pinjaman dari JDT musim ini.
Prestasi anak didik Fandi Ahmad juga dilihat berkembang positif dengan adanya kudrat pemain JDT yang memiliki pengalaman dan latihan berintensiti tinggi bersama Harimau Selatan.
Kehadiran pemain JDT juga mampu memberi nilai tambah kepada anak didik Frank Bernhardt yang kini berada pada tangga ke-13 liga.