Pasukan gergasi dari selatan tanah air, Johor Darul Ta’zim (JDT) membuktikan pembangunan pemain muda mereka berjalan dengan lancar. Yang terbaru, mereka dilihat sudah pun melahirkan mesin gol yang dilihat menunggu masa untuk menyinar bersama skuad utama.
Pemain yang dimaksudkan adalah pemain JDT II yang beraksi di saingan Piala MFL, Gabriel Nistelrooy. Anak muda berusia 23 tahun dari Sarawak ini semakin menggila di hadapan gawang sejak kebelakangan ini.
Dalam dua perlawanan terakhir Nistelrooy bersama JDT II, beliau sudah pun meledak tujuh gol. Ketika menentang Sabah minggu lalu, Nistelrooy berjaya meledak hatrik pertama musim ini yang sekali gus membantu kemenangan besar 7-0 ke atas pasukan dari Borneo itu.
Bisa Nistelrooy tidak terhenti di situ. Nistelrooy terus membuka mata ramai pihak apabila beliau berjaya meledak empat gol dalam kemenangan besar JDT II ke atas Projek FAM-MSN sebentar tadi. Perlawanan berakhir dengan keputusan 5-2 memihak JDT II.
Kini, nama Gabriel Nistelrooy merupakan antara anak tempatan yang bersaing sengit dengan penyerang import sebagai penjaring terbanyak Piala MFL. Secara keseluruhan, Nistelrooy sudah pun meledak 11 gol musim ini bagi saingan Piala MFL.
JDT II kini berada di tangga ke-4 Kumpulan A Piala MFL dengan mengumpul 23 mata selepas mengharungi 12 perlawanan. Kedudukan JDT II dibezakan lima mata dengan pendahulu semasa, Terengganu FC II.