Tunku Mahkota Johor (TMJ), DYAM Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim sentiasa berusaha memperkukuh pasukan miliknya, Johor Darul Ta’zim (JDT). Dan hari ini, baginda mengesahkan Harimau Selatan bakal memperbaharui kontrak penajaan dengan pengeluar barangan sukan yang terkenal, Nike.
Keputusan ini didedahkan dalam satu ciapan baginda di akaun Twitter rasminya hari ini. Ini dilihat mampu memperkukuh kedudukan JDT dari segi komersial sekaligus membantu kelab merekrut pemain yang lebih bagus menjelang tetingkap perpindahan kedua yang akan dibuka pada Jun ini.
“Insya Allah, seluruh negeri Johor. Tetapi masih ada perkara yang perlu diselesaikan. Pertama sekali, kita perlu tambahbaik nilai komersial kelab dan pasukan menjelang Jun.
“Menambahbaik dan memeterai perjanjian baru dengan Nike tidak lama lagi. (Ada) rancangan besar di hadapan,” titahnya.
Keputusan ini sudah pasti akan meletakkan JDT berada pada satu tahap yang berbeza berbanding pasukan-pasukan Liga Super lain. Ditambah dengan prospek perpindahan berprofil tinggi membabitkan Radamel Falcao, ia akan menjadikan JDT lebih dikenali di pentas global.
Tetapi paling penting, ia akan menambah keazaman anak-anak buah Esteban Solari untuk lebih cemerlang baik di peringkat domestik mahupun di peringkat antarabangsa. Ini termasuk Liga Juara-Juara Asia (ACL) yang bakal berlangsung pada September ini.