Kedudukan Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim –JDT dan gergasi Arab Saudi kini mencapai tahap yang setanding.
Skuad kendalian Xisco Munoz memperagakan aksi yang cukup memukau sungguhpun tewas 2-1 menentang juara bertahan, Al-Ahli pada peringkat suku akhir, Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) 2025-26.
Wakil tunggal dari Malaysia itu juga turut berjaya memastikan bahawa satu slot automatik ke pentas elit Asia kekal menjadi milik negara bagi tahun 2026-27 selain satu lagi slot automatik ke pentas Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2).
JDT menjadi penyumbang mata tertinggi MA Ranking Malaysia dengan 21.500 mata, sekali gus meletakkan Malaysia di tangga keenam Asia Timur dengan 45.184 mata dan ke-11 di Asia.
Bukan itu sahaja, kemas kini laman Opta Analyst juga menyaksikan skuad Harimau Selatan kini bersaing sengit dalam kelompok 10 pasukan terbaik di Asia.
JDT berada pada kedudukan ke-10 di Asia dengan 79.6 mata, hanya dipisahkan 0.2 mata daripada pasukan tangga kesembilan, Al-Qadsiah yang merupakan kelab besar di Timur Tengah.
Juara bertahan Liga Super Malaysia ini juga memastikan jurang dengan pasukan tangga kelima Asia, Vissel Kobe berjaya dikecilkan dengan hanya terpisah 1.3 mata (80.9 mata).
Kedudukan semasa JDT ini juga mengekalkan status mereka sebagai pasukan nombor satu di Asia Tenggara dengan Buriram United berada pada kedudukan ke-24 Asia ketika ini.