JDT Kaut Habuan 7 Angka Di Asia
MakanBola
Johor Southern Tigers

Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) terus mencatatkan kemajuan pada pentas Asia selepas meraih habuan lumayan hasil persembahan cemerlang di AFC Champions League Elite (ACLE) 2025-26.

Pasukan kendalian Xisco Munoz menjadi wakil tunggal dari Malaysia yang beraksi di ACLE dan kini pada momentum terbaik untuk layak ke pusingan kalah mati.

Juara bertahan 11 kali Liga Super Malaysia itu mengumpul dua kemenangan, dua seri dan tiga tewas – meletakkan mereka pada posisi terbaik untuk melangkah ke peringkat seterusnya.

Skuad Harimau Selatan kini menjadi penyumbang mata ranking MA Malaysia paling tinggi iaitu sekitar 28.01 mata, sekitar 70 peratus daripada mata keseluruhan yang dipungut oleh Malaysia.

Prestasi cemerlang ini juga memberi impak besar apabila meletakkan Malaysia pada kedudukan ke-11 di Asia (ke-6 di Asia Timur) berdasarkan kemas kini ranking oleh laman Footy Ranking.

JDT juga kini menjadi kelab Malaysia yang mengumpul jumlah wang ‘prize money’ tertinggi di Asia selepas meraih sekitar 995,000 USD (RM3.9 Juta) dan menduduki tangga ke-18 secara keseluruhan.

Pecahan daripada jumlah ini menunjukkan JDT meraih 200,000 USD (RM780,000) menerusi bonus prestasi dan juga 8000,000 USD (RM3.1 Juta) hasil penyertaan di ACLE pada tahun ini.

Tiga kelab gergasi Asia menduduki tangga teratas kelab yang memungut jumlah habuan tertinggi di Asia iaitu Al-Hilal (RM5.45 Juta) diikuti dua lagi pasukan iaitu Vissel Kobe (RM5.3 Juta) dan Machida Zelvia (RM4.7 Juta).

Prestasi semasa pasukan itu menyaksikan pungutan mata JDT itu membantu Malaysia terus mendapat slot automatik ke pentas ACLE dan ACL2 bagi tahun 2026-27.