Seramai 8 orang pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) akan menggalas cabaran Malaysia dalam kejohanan ASEAN Hyundai Cup 2026.
Senarai panggilan ke kem latihan pusat Harimau Malaya telah dikeluarkan pada Sabtu yang menyaksikan seramai 26 pemain telah pun dipanggil bagi melakukan persiapan utama menghadapi kejohanan ASEAN Hyundai Cup 2026.
Kombinasi antara tonggak berpengalaman dan juga pemain muda menjadi ramuan pengendali interima negara, Tan Cheng Hoe dalam tugasan sulung beliau sejak dilantik mengemudi skuad Harimau Malaya beberapa minggu lalu.
Seperti kebiasaan, pemain-pemain dari JDT mendominasi senarai panggilan skuad negara apabila seramai 8 tonggak pasukan Harimau Selatan dipanggil oleh Tan Cheng Hoe bagi menggalas misi besar Malaysia di pentas ASEAN ini.
Pemain sayap naturalisasi, Mohamadou Sumareh antara tonggak JDT yang mendapat perhatian pengendali Harimau Malaya selain dua bintang tengah meningkat naik, Ibrahim Manusi dan Daryl Sham yang mencetus keterujaan peminat.
Baki 5 lagi pemain JDT yang dipanggil terdiri daripada tonggak pasukan bawah 23 tahun negara iaitu Alif Ahmad, G. Pavithran, Ziad El Basheer, Faris Danish dan penjaga gol tinggi lampai yang dipinjamkan ke Melaka musim lalu, Haziq Aiman.
Kehadiran 8 tonggak dari kelab gergasi tanah air ini bakal membentuk satu kombinasi menarik bersama para pemain yang hadir dari kelab-kelab Liga Malaysia dan 3 lagi bintang Malaysia yang beraksi di luar negara antaranya Wan Kuzain.
Skuad negara dijadualkan memulakan sesi latihan pada minggu hadapan sebelum aksi pembukaan ASEAN Hyundai Cup 2026 bertemu Myanmar pada 25 Julai hadapan di tempat lawan.