JDT II Muncul Juara Liga A1 Kali Pertama
MakanBola
Johor Southern Tigers

Johor Darul Ta’zim (JDT) II dinobatkan sebagai juara Liga A1 Semi-Pro 2025-2026 selepas mengikat Kelantan WTS pada Isnin.

Kejayaan ini disahkan selepas JDT II berjaya mengutip satu mata yang penting ketika terikat seri 2-2 bertemu Kelantan WTS dalam perlawanan minggu ke-29 Liga A1 Semi-Pro di Kota Bharu.

Satu mata tersebut sudah cukup buat JDT II mengesahkan status sebagai juara Liga A1 Semi-Pro musim 2025-2026 walaupun masih berbaki satu lagi perlawanan sebelum tirai ditutup.

Pada aksi tersebut, JDT II ketinggalan dua jaringan apabila gol Nazrin Nawi dan Dandy Arbdallah berhasil meletakkan Kelantan WTS di hadapan sebelum wisel penamat separuh masa pertama dibunyikan.

Kebangkitan mula menjelma di babak kedua apabila Danish Hakimi dan Danish Zahir masing-masing menjaringkan gol pada minit ke-51 dan 76 buat JDT II meraih satu mata cukup bermakna.

Kedudukan semasa menyaksikan JDT II bergelar juara Liga A1 Semi-Pro dengan mengutip 62 mata, 4 mata di hadapan Selangor II yang terpaksa berpuas hati di tangga yang kedua.