Gergasi selatan tanah air, Johor Darul Ta’zim (JDT) melanjutkan kerjasama dengan syarikat penerbangan nasional, Malaysia Airlines untuk tempoh tiga tahun lagi.
Pengumuman lanjutan kerjasama itu diumumkan pengurusan JDT menerusi satu kenyataan di semua platform rasmi Johor Southern Tigers.
Pembaharuan kerjasama itu dimeterai menerusi pertukaran dokumen dalam satu majlis ringkas yang berlangsung di Ibu Pejabat JDT, Stadium Sultan Ibrahim pada Khamis.
Ketua Pegawai Operasi dan Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards mewakili pasukan juara Liga Super 12 kali itu.
Malaysia Airlines pula diwakili oleh Kapten Nasaruddin A. Bakar, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Malaysia Aviation Group (MAG).
Turut sama hadir menyaksikan majlis pertukaran dokumen ialah Bryan Foong, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perniagaan Penerbangan MAG dan Sukri Mosman, Pengurus Operasi JDT.
Pembaharuan kerjasama ini menyaksikan Malaysia Airlines akan menawarkan pelbagai promosi perjalanan eksklusif kepada penyokong JDT.
Salah satu daripadanya ialah diskaun sehingga 10% bagi penerbangan yang layak dengan menggunakan kod promosi FYXMYFC. Tawaran ini boleh ditebus bermula sekarang hingga 30 September 2026 bagi perjalanan sehingga 31 Disember 2026.