Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) mencipta kejayaan gemilang apabila memintas kedudukan kelab Korea, Ulsan HD dan kini menjadi kelab ke-5 terbaik Asia.
Skuad kendalian Hector Bidoglio cemerlang menundukkan wakil China, Shanghai Shenhua pada aksi kedua AFC Champions League Elite (ACLE) dengan keputusan 3-0 di Stadium Sultan Ibrahim.
Kemenangan itu membolehkan skuad Harimau Selatan menapak dengan lebih gah di Asia apabila mencatatkan peningkatan mendadak berdasarkan kemas kini terbaru.
Menurut kedudukan laman Opta Analyst, JDT kini telah memintas kedudukan Ulsan HD yang dibimbing oleh Kim Pan-gon untuk menghuni tangga ke-5 Asia.
Laman analisis bola sepak yang menyenaraikan hampir 13,500 ranking kelab bola sepak seluruh dunia itu menunjukkan Harimau Selatan mengumpul 79.1 mata sekaligus menyaksikan kedudukan JDT naik ke tangga ke-5 di Asia berbanding ke-7 tempoh hari.
Kemajuan memberangsangkan ini juga menyaksikan JDT naik 23 anak tangga bagi kedudukan ranking kelab di dunia dan berada pada tangga ke-231 ketika ini.
Kedudukan ini membolehkan JDT untuk mengukuhkan reputasi selaku kelab nombor satu di Asia Tenggara dan Malaysia dengan pesaing terdekat adalah kelab Thailand, Buriram United yang menghuni tangga ke-24 di Asia (402 di dunia).
Kemas kini ini juga membolehkan pasukan milik DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor untuk menghampiri tangga beberapa pasukan gergasi Asia lain seperti Vissel Kobe (3) dan Sanfreece Hiroshima (4) di Asia.
Kelab nombor satu di Asia kekal menjadi milik Al-Hilal dengan 88.6 mata disusuli oleh Al-Nassr di tempat kedua Asia dengan 84.1 mata.
Kedudukan terbaru ini juga membolehkan JDT menjadi pasukan ke-3 terbaik di Asia Timur, naik satu tangga berbanding kedudukan ke-4 sebelum ini.
JDT menjadi wakil tunggal Malaysia di pentas ACLE kini menghuni tangga kedua kumpulan dengan 4 mata selepas dua perlawanan.