Bekas bintang Liga Perdana Inggeris (EPL), Roque Mesa menjadi rekrut terbaru Johor Darul Ta’zim (JDT).
Perpindahan pemain tengah berusia 35 tahun itu diumumkan pengurusan Harimau Selatan di platform Johor Southern Tigers.
“Merah dan Biru bukan sekadar warna, ianya satu legasi. Selamat datang ke Harimau Selatan, Roque Mesa,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Perpindahan ini menyaksikan Mesa kembali bersatu dengan rakan senegara yang beraksi bersama Swansea City, Jordi Amat. Ini kerana kedua-duanya pernah beraksi untuk kelab itu dari 2017 hingga 2018.
Selain Swansea, Mesa juga pernah beraksi untuk Sevilla, Sporting Gijon, CD Leganes, Las Palmas, Valladolid dan Levante.
Beliau menjadi rekrut ketiga Harimau Selatan untuk menghadapi baki kempen Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) selepas Jonathan Viera dan Alvaro Gonzalez.
Tidak seperti Viera dan Gonzalez, ini perpindahan pertama Mesa ke kelab yang beraksi di benua Asia. Beliau bakal menambah lebih banyak pilihan buat Hector Bidoglio di bahagian tengah.
Kelibat Gonzalez, Viera dan Mesa bakal ditagih JDT untuk mengharungi dua aksi Liga Timur ACLE. Ini kerana Harimau Selatan berada pada kedudukan baik untuk mara ke pusingan seterusnya.
JDT bakal berdepan juara A-League 2023/24, Central Coast Mariners untuk aksi ACLE seterusnya pada 11 Februari.