Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz memaklumkan pasukan itu bersedia menghadapi cabaran Buriram United di peringkat separuh akhir Shopee Cup.
Selepas tamat aksi peringkat kumpulan, JDT mara ke separuh akhir selaku naib juara Kumpulan B. Pasukan itu mengiringi Thep Xanh Nam Dinh FC selaku juara kumpulan.
Hal ini menyaksikan Harimau Selatan perlu berdepan Buriram di peringkat separuh akhir. Ini kerana Thunder Castle mara selaku juara Kumpulan A.
Hal ini menyaksikan kedua-dua pasukan akan bertemu lagi selepas berentap di pentas ACLE sebanyak tiga kali.
Meskipun sedar dengan cabaran yang akan dihadapi JDT, Munoz percaya pasukan itu bersedia menentang kelab gergasi Thailand itu.
Ini kerana pada hematnya, JDT perlu mengatasi pasukan terbaik di peringkat ASEAN jika mahu mara ke final Shopee Cup.
“Kita kena bermain menentang Buriram. Ia sesuatu yang bagus. Bila anda layak ke separuh akhir, sudah pasti kita akan menentang pasukan yang hebat.
“Ini bukan alasan. Anda perlu bermain menentang empat pasukan terbaik. Empat pasukan terbaik (Shopee Cup) sudah layak.
“Sekarang, kita kena cuba mara ke final sebab ia sesuatu yang positif buat kita. Seperti yang saya beritahu anda sebelum ini, kita perlu kekal bersaing dalam kejohanan-kejohanan besar,” katanya dalam sidang media pascaperlawanan.
Aksi separuh akhir Shopee Cup akan berlangsung pada 6 dan 13 Mei. Selain JDT dan Buriram, satu lagi wakil Malaysia, Selangor FC akan menentang Nam Dinh dalam satu lagi aksi separuh akhir.