JDT Sedia Juadah Buka Puasa Sebelum Aksi ACLE
MakanBola
Johor Southern Tigers

Penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) berpeluang menikmati juadah berbuka puasa sebelum aksi Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) menentang Sanfrecce Hiroshima.

Ini kerana pengurusan Harimau Selatan akan menyediakan juadah berbuka puasa buat para penyokong yang hadir ke aksi pertama pusingan 16 ACLE di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada 4 Mac ini.

Perkara ini dinyatakan pengurusan pasukan itu menerusi satu kenyataan di platform Johor Southern Tigers.

“Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) berbesar hati mengalu-alukan para penyokong Harimau Selatan berbuka puasa di Stadium Sultan Ibrahim sebelum aksi perlawanan Peringkat 16(1) Liga Juara-Juara AFC Elite (ACLE) 2025-26 menentang Sanfrecce Hiroshima pada hari Rabu, 4 Mac 2026 yang berlangsung jam 8.15 malam.

“Juadah berbuka puasa turut disediakan dan para penyokong boleh menikmatinya di kawasan tempat Tempat Letak Kereta Zon 3.

“Antara kepelbagaian menu yang ditawarkan termasuklah bubur lambuk, nasi beriani, nasi lemak, ayam gunting, mee kawah, buah-buahan, minuman dan banyak lagi,” kata kelab dalam satu kenyataan.

JDT turut menyediakan kemudahan seperti ruang menunaikan solat dan kemudahan tandas bagi menambah keselesaan penyokong yang hadir.

Ini bukan kali pertama JDT menyediakan juadah berbuka puasa buat penyokong yang hadir untuk aksi ACLE.

Musim 2024/25 menyaksikan Harimau Selatan dan kerajaan negeri Johor menyediakan juadah berbuka puasa buat penyokong sebelum aksi kedua pusingan 16 ACLE menentang Buriram United.