Advertisement
“JDT Sentiasa Mahu Menang Tidak Kira Lawan Siapa” – Jordi Amat
ACL
MakanBola
Johor Southern Tigers

Kapten pasukan JDT, Jordi Amat melaungkan kesediaan untuk aksi menentang Buriram United dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim.

JDT mahu bangkit dari kekecewaan setelah tewas tipis kepada Shandong Taishan dalam aksi kelima ACLE pada 26 November lalu.

Jordi Amat mengakui Buriram United merupakan antara pasukan yang kuat dalam kumpulan A namun beliau yakin pasukan JDT mampu memberikan tentangan sengit untuk aksi di Stadium Sultan Ibrahim kelak.

“Benar kami akan melawan salah satu kelab terbaik di Thailand, ini akan menjadi aksi yang sukar buat kami.

“Kami perlu sentiasa fokus dan bermain sebagai satu pasukan. Kedua-dua pasukan bermain sistem yang sama jadi ini akan menjadi lebih menarik.

“Kami sentiasa mencipta banyak peluang dalam setiap perlawanan, saya harap esok kami boleh menjaringkan gol untuk menutup perasaan kecewa kami ketika melawan Shandong Taishan tempoh hari.

“Ini waktu yang terbaik untuk membuktikan kami bagus dan kami akan tunjukkan bola sepak kami kepada semua.

“Ini akan menjadi seperti perlawanan akhir kerana kedua-dua pasukan mempunyai 7 mata. Matlamat kami di JDT adalah untuk sentiasa mahukan kemenangan tidak kira siapapun lawan kami.

“Kami akan berjuang dari minit pertama hingga minit terakhir perlawanan. Semua pemain sudah bersedia untuk aksi pada esok hari.” ujar Jordi Amat dalam sidang media pra perlawanan JDT menentang Buriram United.

JDT bakal berhadapan dengan ujian Buriram United terlebih dahulu sebelum bertemu dua lagi pasukan iaitu Central Coast Mariners dan juga Pohang Steelers untuk baki dua perlawanan dalam kumpulan A ACLE.