JDT Tidak Gentar Undian Sukar ACLE
MakanBola
Johor Southern Tigers

Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak gentar dengan cabaran hebat yang menanti pasukan itu di peringkat suku akhir Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE).

Pendirian itu dinyatakan Ketua Pegawai Operasi (COO) JDT, Alistair Edwards apabila diminta mengulas undian suku akhir yang diterima pasukan itu.

Suku akhir ACLE menyaksikan JDT bakal menentang sama ada wakil Qatar, Al-Duhail atau juara bertahan, Al-Ahli.

Edwards yang juga Pengarah Teknikal Harimau Selatan mengakui kedua-dua pasukan memiliki kelebihan status pasukan gergasi Asia.

Pada masa sama, JDT melihat kedua-dua pasukan itu sebagai cabaran jika ingin meraih tiket ke peringkat separuh akhir.

“Kedua-dua pasukan yang anda sebut merupakan ikon bola sepak Asia. Kita tahu (bila melangkah ke suku akhir), kita akan menentang pasukan-pasukan gergasi Asia,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.

“Dan kita bangga berada di sini mewakili Johor dan Malaysia dalam pertandingan ini. Siapa sangka pasukan dari Malaysia ini dapat bersaing di tahap ini.

“Tapi untuk mencapainya, kita ada pasukan hebat. Kita ada struktur (pengurusan) yang hebat dan DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor selaku pemimpin hebat. Kita tidak tahu (peluang kita) tetapi kita mahu berikan yang terbaik.”

Pusingan akhir ACLE termasuk suku akhir akan diadakan di Jeddah, Arab Saudi pada April ini.