Advertisements
JDT Ubati Kesedihan Hector Bidoglio
Liga Super
MakanBola
Johor Southern Tigers

Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio menganggap kemenangan besar 5-0 mengatasi Perak FC dalam saingan Liga Super tempoh hari sebagai hadiah buat dirinya yang kini di dalam kesedihan.

Sebagai info, Bidoglio baru sahaja kehilangan ibu tersayang pada Ahad susulan penyakit kanser yang dihidapi ibunya itu.

Pengendali dari Argentina itu juga sempat menitipkan ucapan penuh emosi buat mendiang ibunya yang telah mengajar beliau erti sebuah kehidupan.

“Saya ingin berterima kasih kepada mendiang ibu saya kerana dia menunjukkan saya erti kehidupan dan saya sangat gembira malam ini JDT menghadiahkan kemenangan yang sangat bermakna buat saya,” jelas Bidoglio seperti yang dikongsikan Stadium Astro.

Kemenangan besar itu amat bermakna buat JDT yang kini bertambah selesa di puncak liga apabila menjarakkan jurang kepada 11 mata dengan pasukan di tangga kedua, Selangor FC.

Dalam aksi JDT dan Perak yang dilangsungkan di Stadium Sultan Ibrahim itu, Bergson menjadi wira dengan meledak hatrik manakala dua lagi jaringan disumbang oleh pemain naturalisasi negara, Romel Morales.

JDT kini mengalihkan tumpuan semula di pentas Asia apabila dijadualkan bertemu kelab gergasi China, Shandong Taishan yang dijadualkan berlangsung pada 26 November depan.