Johor Darul Ta’zim (JDT) mengumumkan kehadiran pemain import baharu, Dani Bolt dari kelab Liga Azerbaijan.
Ketibaan Dani Bolt diumumkan oleh JDT menerusi satu hantaran di laman media sosial Johor Southern Tigers dengan kehadiran pertahanan kanan itu di Stadium Sultan Ibrahim bersama-sama jersi kebanggaan skuad Harimau Selatan.
Kelibat pemain berusia 27 tahun itu hadir sambil mengenakan jersi JDT dengan nombor 20 dan dijangka bakal memberikan pilihan tambahan di benteng pertahanan dalam usaha memperkukuh pasukan pada musim ini.
“Dani Bolt sudah tiba,” umum Johor Southern Tigers di semua platform media sosial kelab.
Sebagai rekod, Dani Bolt atau nama sebenarnya Daniel Lima de Castro tiba di JDT dari kelab gergasi Azerbaijan, Qarabag yang beberapa kali tampil di pentas Liga Juara-Juara Eropah (UCL) sebelum ini, dan berdepan pasukan-pasukan elit seperti Chelsea.
Dani Bolt turut hadir ke Liga Malaysia dengan pengalaman bermain di Liga Portugal bersama Torreense pada tahun 2025 dan beberapa kelab di Brazil seperti Juventade, EC Vitoria dan Fluminense B-20 sejak tahun 2022 yang lalu
Menariknya, Dani Bolt ini merupakab rakan sepasukan Kevin Medina di Qarabag musim lalu sebelum kedua-dua pertahanan ini direkrut oleh JDT pada musim ini dalam misi membantu skuad Harimau Selatan memperoleh kejayaan.