Jendela Perpindahan Kedua Liga Malaysia Telah Dibuka
MakanBola
MFL

Tempoh yang dinantikan pasukan-pasukan Liga Malaysia (Liga M) akhirnya tiba pada Isnin.

26 Ogos menyaksikan tetingkap perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga M) dibuka sehingga 22 September ini.

Tempoh ini menyaksikan pasukan-pasukan berpeluang menambah baik kualiti pasukan masing-masing sebelum mengharungi separuh kedua musim 2024/25.

Beberapa pasukan sudah mengumumkan penambahan pemain baru untuk didaftarkan semasa tempoh ini. Antara pasukan yang berbuat demikian ialah Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC), Selangor FC, Terengganu FC dan Sabah FC.

JDT mengumumkan perpindahan Christian Abad, Park Jun-heong, Iker Undabarrena, Eddy Israfilov dan Enzo Lombardo. Manakala Selangor, Terengganu dan Sabah masing-masing mengumumkan perpindahan Ali Olwan, Nelson Bonilla dan Joao Pedro.

Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Kelantan Darul Naim FC (KDN FC), PDRM FC dan Sri Pahang FC juga dijangka mencari tonggak import baru.

Ini selepas keempat-empat pasukan ini kehilangan khidmat Habib Haroon, Valdumar Augusto Te, Chadrack Muzungu, Prince Aggreh dan Kuvondik Ruziev.

Satu pasukan yang tidak boleh memperkuatkan pasukan semasa tempoh ini ialah KL City FC. Ini kerana KL City perlu melalui sekatan perpindahan yang dikenakan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) sehingga penghujung musim 2024/25.

Sekatan ini merupakan sebahagian daripada hukuman yang dikenakan MFL ke atas pasukan Lembah Klang itu selepas didapati mengisytiharkan maklumat tidak tepat dalam lesen mereka.

Claim Money Packet TnG