Jepun Buat England Terduduk
MakanBola
Japan FA

England seakan tidak percaya apabila jaguh Eropah itu tumbang 1-0 di tangan pasukan gergasi Asia, Jepun dalam aksi persahabatan antarabangsa.

Aksi persahabatan ini merupakan sebahagian daripada persiapan kedua-dua pasukan bagi menghadapi saingan Piala Dunia 2026.

Ini juga peluang buat jurulatih kedua-dua pasukan, Thomas Tuchel dan Hajime Moriyasu bereksperimen dengan memberi peluang kepada pemain baharu dalam kesebelasan utama.

Selepas diikat 1-1 dengan Uruguay baru-baru ini, The Three Lions berharap dapat meraih kemenangan apabila berdepan Jepun.

Meskipun begitu, hasrat anak buah Tuchel musnah apabila dibolosi pada minit ke-23 menerusi pemain sayap Brighton, Kaoru Mitoma.

England menggandakan asakan pada separuh masa kedua untuk memburu gol penyamaan. Tuchel turut memasukkan Dominic Solanke, Marcus Rashford dan Jarrod Bowen untuk memburu gol tetapi gagal.

Ketangkasan penjaga gol Jepun, Zion Suzuki memastikan England hampa di Stadium Wembley apabila wisel penamat ditiup.

Jepun terus mengekalkan rekod tanpa kalah mereka kepada enam perlawanan di peringkat antarabangsa. Ini termasuk kemenangan mengejut 3-2 ke atas Brazil.

Sofascore turut memilih Mitoma sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 7.9. Beliau mengatasi pemain tengah England, Elliot Anderson yang meraih 7.6 mata.