Pasukan kebangsaan Jerman melakar sejarah untuk menjulang Piala Dunia B-17 selepas menundukkan jaguh Eropah, Perancis dengan keputusan 4-3 hasil penentuan sepakan penalti.
Perlawanan yang berlangsung di Stadium Manahan menyaksikan kedua-dua pasukan menurunkan barisan terkuat untuk menjulang trofi berprestij ini.
Anak didik Christian Wuck tampil lebih garang pada babak pertama sekaligus menyebabkan Perancis lebih banyak bertahan.
Kesilapan barisan pertahanan Les Blues menyaksikan pasukan dihukum apabila sepakan penalti diberikan kepada Jerman yang mudah disempurnakan oleh Paris Brunner pada minit ke-29.
Anak didik Jean-Luc Vennuchi cuba bangkit menyamakan kedudukan namun tidak berdaya apabila aksi tamat 1-0 memihak Jerman.
Bersambung babak kedua, Die Mannschaft memperoleh gol kedua hasil gerakan cantik berpasukan sebelum hantaran Max Moerstedt menemui Noah Darvich untuk gol kedua.
Perancis tidak menunggu lama untuk merapatkan jurang menerusi Saimon Bouabre yang berjaya menewaskan Konstantin Heide pada selang dua minit.
Gol tersebut menjadi detik kebangkitan buat Perancis apabila menjaringkan gol kedua hasil ketajaman pemain tengah, Mathis Amougou berdepan Jerman yang beraksi dengan 10 pemain.
Tambahan masa 10 minit tidak mengubah keputusan yang berlarutan ke penentuan sepakan penalti.
Keputusan perlawanan kekal memihak kepada Jerman untuk muncul juara Piala Dunia B-17 kali ini dengan keputusan 4-3 hasil penentuan penalti.
Keputusan ini menyaksikan Perancis muncul selaku naib juara diikuti Mali di tangga ketiga sementara Argentina berada pada kedudukan ke-4 pada edisi kali ini.