Advertisement
Jersi Baru Sri Pahang Penuh Mengujakan, Kekal Identiti Menjadi Kebanggaan
Liga Super
MakanBola
Sri Pahang

Sri Pahang FC pada hari ini memperkenalkan secara rasmi jersi baharu bagi menghadapi Liga Malaysia musim 2023 dalam satu majlis di Timorra Venue, Tanjung Lumpur.

Kekal dengan identiti sama yang menjadi simbolik kebanggaan tok gajah, Sri Pahang akan mengenakan warna kuning-biru untuk jersi home, dengan kuning sebagai warna dominan manakala biru-kuning untuk jersi away dengan biru sebagai warna dominan.

Turut diperkenalkan jersi ketiga (alternatif) berwarna putih.

Bagi jersi penjaga gol pula adalah biru, merah jambu dan hijau.

Jersi boleh didapati pada harga RM149.99 (player issue) dan RM39.99 (fan issue) dengan pembelian boleh dibuat secara online di (http://www.hakkaclo.com/product) ataupun bersama agen-agen sah Hakkaclo.

“Hakkaclo mengutamakan kualiti dan keselesaan kepada pemakainya. Fabrik yang digunakan bercorak jelas esklusif dan telah diuji di makmal. Ia 100 peratus microfiber dengan panel sublimation tersuai.

“Patch getah Tatami 3D esklusif bagi logo HK dan juga logo SPFC di depan dan belakang menjadikannya lebih berketerampilan. Logo penaja dan label penjagaan dengan Revo Print.

“Selain itu, panel sisi berjaring memberikan lebih banyak aliran udara dan keselesaan. Kelebihan tambahan, ia diperbuat daripada tekstur material lembut dan selesa, dengan teknologi cepat kering. Dengan potongan epal dan kemasan premium, jersi SPFC 2023 akan kelihatan lebih bergaya,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Hakkaclo, Noor Soallihin Mohamed.

Sebagai makluman, ini adalah musim kedua Sri Pahang mengenakan kit tajaan Hakka Clo, yang tampil sebagai penaja rasmi pasukan selepas kerjasama bersama pembekal peralatan sukan bumiputera itu terjalin pada 2022.

Hadir menyaksikan dan menyempurnakan majlis pelancaran, Yang Amat Mulia Tengku Arif Temenggong, Tengku Fahad Mua’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah.

Turut hadir adalah Pengerusi SPFC, YM Raja Dato’ Seri Shaharudin Shah Raja Jalil Shah, barisan ahli lembaga pengarah dan jawatankuasa pengurusan pasukan.

Dalam majlis sama ini, SPFC berbesar hati mengumumkan Invest Pahang sebagai penaja utama kelab bagi musim 2023, disertai rakan penaja lain Arwana Travel and Tours, Data Sukan dan XOX Berhad.

Ia hadir sebagai satu tonik bagi mengharungi musim baru Liga Malaysia yang akan membuka tirainya pada 24 Februari ini.

Untuk makluman, pasukan SPFC musim 2023 akan dibarisi 25 pemain skuad utama, terdiri daripada 19 pemain tempatan dan 6 pemain import.

Fandi Ahmad diberikan mandat sebagai ketua jurulatih, manakala Dato’ Dollah Salleh sebagai pengurus pasukan.