Johan Ghazali Puji Mentaliti Arif Aiman Atas Padang
MakanBola
Instagram/Johan Ghazali

Jaguh Muay Thai Malaysia, Johan Ghazali mengakui kagum dengan mentaliti yang ditampilkan pemain sayap kebangsaan, Arif Aiman Hanapi ketika beraksi di atas padang.

Johan membuat kenyataan itu selepas menonton perlawanan Piala Sumbangsih antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kuching City FC di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) baru-baru ini.

Jaguh ONE Championship yang mesra disapa Jojo itu mengakui kagum melihat keyakinan yang dibawa Arif Aiman terutama ketika mengawal bola.

“Saya fikir dari segi keyakinan, saya fikir selepas tengok mereka main, Arif Aiman,” katanya kepada Malaysian Football League (MFL) selepas perlawanan.

“Keyakinan Arif Aiman memang mengagumkan. Saya boleh nampak setiap kali beliau menyentuh bola dengan aura beliau lagi.”

Johan hadir menonton aksi berkenaan sebagai tetamu DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor. Beliau menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada baginda atas jemputan berkenaan.

“Menjunjung kasih Tuanku atas jemputan dan kemesraan yang mengagumkan. Tahniah juga kepada JDT atas rekod dunia. Ini jelas menunjukkan tahap sebenar (pasukan) dalam perlawanan ini,” katanya di Instagram.

Selain berkesempatan bergambar bersama Tunku Ismail, Johan juga sempat bertegur sapa dan bergambar dengan Arif Aiman serta para peminat selepas perlawanan.