Advertisement
Jokowi Janjikan Bonus Kepada Skuad B-22 Indonesia
Asia Tenggara
MakanBola
@jokowi

Semalam, skuad B-22 Indonesia mencipta sejarah dengan meraih pingat emas acara bola sepak Sukan SEA buat kali pertama dalam tempoh 32 tahun. Dan sebagai meraikan kejayaan bersejarah Garuda Muda, Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi bersedia memberi bonus kepada semua pemain dan staf yang menyumbang kepada kejayaan berkenaan.

Aksi final yang menemukan Indonesia dan Thailand di Stadium Olympic, Phnom Penh, Kemboja itu berakhir dengan keputusan 5-2 selepas masa tambahan. Selain pesta gol membabitkan anak-anak buah Indra Sjafri, ia turut dicemari dengan beberapa insiden yang tidak diingini termasuk pukul-memukul membabitkan bangku kedua-dua pasukan.

Di sebalik semua itu, Jokowi amat berbangga dengan usaha yang ditunjukkan pemain-pemain Indonesia. Walaupun tidak menyatakan jumlah sebenar bonus yang bakal diberi kepada mereka, ia dianggap setimpal dengan pencapaian bersejarah yang dilakar semalam.

“[Saya] sangat-sangat gembira, kerana Indonesia vs Thailand (menang) 5-2. Yang saya sampaikan kelmarin, mental pemenang, mental juara, itu memang kelihatan sekali ada, main tanpa beban mental. Ini kita sudah tunggu 32 tahun untuk menjadi juara di Asia Tenggara, 32 tahun kita menunggu.

“Hadiah nanti difikirkan tapi kita beri nanti kerana ini betul-betul ditunggu seluruh masyarakat Indonesia, sudah 32 tahun,” katanya yang menonton perlawanan dalam satu program di Medan, Sumatera Utara kepada YouTube Sekretariat Presiden semalam.