Advertisement
Jordi Amat Tak Pernah Jumpa Pemilik Seperti TMJ
Liga Super
MakanBola
Johor Southern Tigers

Dengan pengalaman beraksi di banyak kelab, Jordi Amat pastinya sudah biasa dengan ragam pengurusan termasuk pemilik kelab. Dan atas sebab itulah, kapten Johor Darul Ta’zim (JDT) itu berpandangan pemilik pasukan, Duli Yang Amat Mulia (DYAM) Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim sebagai seorang figura yang unik dan sentiasa mengambil berat terhadap pasukan.

Amat berpandangan sedemikian kerana Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) sentiasa mahukan yang terbaik untuk JDT dalam banyak aspek dari kemudahan kelab hinggalah perpindahan dan kebajikan pemain.

Figura sebegini tak pernah ditemui bek tengah Indonesia berdarah Sepanyol itu sepanjang bergelar pemain profesional. Dan atas sebab itu, ini memberi motivasi kepada para pemain Harimau Selatan untuk memberi yang terbaik bila beraksi di atas padang.

“Ya, saya boleh katakan ini sesuatu yang baru untuk saya kerana saya tak pernah melihat orang seperti baginda (TMJ). Baginda seorang yang bermotivasi, sentiasa berlawan bersama kami dan untuk kelab.

“Kami amat menghormati baginda dan pada akhirnya, banyak melakukan perkara yang bagus untuk kelab. Jadi, satu cara untuk kami membalasnya ialah dengan meraih kemenangan dan memberi komitmen 100% kepada pasukan,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.

Atas sebab itulah, Amat dan rakan-rakan sepasukannya pasti mahu meneruskan rentak cemerlang mereka dalam Liga Super musim ini. Ini dapat dicapai dengan merekodkan kemenangan ke atas Kelantan United dalam perlawanan yang berlangsung esok.