Advertisement
Jordi Amat Yakin Kesebelasan Utama JDT Masih Belum Terjawab
ACL
MakanBola
Johor Southern Tigers

Kapten Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC), Jordi Amat percaya sesiapa saja yang diturunkan menentang Kawasaki Frontale esok mampu menggalas cabaran pasukan itu.

Beliau berpandangan sedemikian kerana dua tonggak utama JDT, Fernando Forestieri dan Diogo Luis Santo sudah kembali menjalani latihan sejak beberapa hari lepas.

Kehadiran dua pemain ini amat membantu terutama Forestieri yang ketika ini merupakan penjaring terbanyak mereka dalam Liga Super musim ini. Amat percaya kehadiran semula dua pemain ini bukan saja menyukarkan jurulatih Tano Solari membuat pilihan untuk kesebelasan utama.

Malah, kehadiran duo ini mampu menambah bisa serangan pasukan bila berdepan Frontale dalam aksi pertama Kumpulan I nanti.

“Kita akan periksa semua aspek (pasukan). Memang benar mereka merbahaya dalam banyak segi tapi begitu juga dengan kami. Kita mempunyai pasukan yang kuat dan seperti jurulatih katakan, ia boleh datang dari semua orang.

“Fernando (Forestieri) dan Diogo (Luis Santo) sudah kembali berlatih. Jadi, saya tahu beliau akan berdepan kesukaran memilih kesebelasan utama sebab semua orang berlatih dengan bagus.

“Ya, ia akan menjadi satu perlawanan yang menarik. Perlawanan yang sukar ya dan mencabar tetapi kita tidak sabar menantikannya,” katanya dalam sidang media pra-perlawanan hari ini.

Perlawanan esok dianggap medan balas dendam buat JDT selepas diaibkan lawan sama 5-0 dalam aksi kumpulan pada musim lepas.