Advertisement
Josh Brownhill Cipta Sensasi Gol Burnley
EFL
MakanBola
Burnley FC

Pemain berdarah warisan Malaysia, Josh Brownhill semakin cemerlang bersama kelabnya, Burnley.

Kelab yang diberi jolokan The Clarets itu kekal tanpa kalah dalam sembilan perlawanan Liga Kejohanan apabila menewaskan Watford 2-1 di Turf Moor.

Pasukan yang dibimbing Scott Parker itu bukan saja mahu menghambat dua pasukan teratas liga, Sheffield United dan Leeds United.

Malah, Burnley juga mahu mempertahankan rekod bolos terbaik dalam liga di mana mereka hanya dibolosi sebanyak sembilan kali setakat ini.

Pemain sayap, Jaidon Anthony meletakkan tuan rumah di hadapan pada separuh masa pertama. Brownhill kemudiannya mencipta sensasi pada separuh masa kedua.

Selepas bertukar hantaran dengan Anthony dan Hannibal Mejbri, pemain tengah berusia 28 tahun itu melepaskan satu rembatan lencong yang menewaskan penjaga gol The Hornets, Daniel Bachmann.

Kwadwo Baah merapatkan jurang buat Watford tetapi itu tidak cukup menghalang Burnley meraih kemenangan ke-12 dalam liga.

Keputusan itu menyaksikan The Clarets kini di tangga ketiga dengan 44 mata, empat mata di belakang The Blades. Kemenangan itu turut menyaksikan Burnley dan Leeds hanya dipisahkan satu mata.

Brownhill ketika ini sudah menjaringkan lapan gol dalam liga setakat ini. Sekiranya prestasi ini diteruskan, tidak mustahil jumlah gol beliau boleh mencecah dua angka.

Brownhill masih memiliki baki kontrak sehingga 30 Jun 2025. Status kontraknya itu menyebabkan khidmatnya diintai beberapa kelab seperti Fulham, West Ham United, Leeds, Lazio, Fiorentina dan Torino.