Liverpool kempunan meraih kelebihan dalam saingan separuh akhir pertama Piala EFL apabila tewas 1-0 dengan Tottenham Hotspur.
Spurs terdesak memburu kemenangan selepas gagal melakukannya dalam empat perlawanan. Liverpool pula mahu bangkit selepas diikat Manchester United 2-2 baru-baru ini.
Gandingan Diogo Jota, Mohamed Salah dan Cody Gakpo terus menjadi sandaran gol The Reds. Son Heung-min, Dominic Solanke dan Dejan Kulusevski pula menjadi sandaran gol Tottenham Hotspur.
Separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan berusaha mencari kelebihan gol di Stadium Tottenham Hotspur.
Permainan kemudiannya terhenti pada minit kelapan apabila pemain tengah Uruguay, Rodrigo Bentancur rebah dalam kotak penalti Liverpool.
Bek kanan Spurs, Pedro Porro pantas memberi bantuan kepada pemain tengah berusia 27 tahun itu. Selepas menerima rawatan kecemasan oleh pasukan perubatan selama sembilan minit, Bentancur kemudiannya diusung keluar dan dibawa ke hospital.
Susulan itu, pengurus Tottenham, Ange Postecoglou memasukkan Brennan Johnson sebagai pengganti pemain tengah tersebut.
13 minit selepas itu, giliran Liverpool pula membuat pertukaran awal dengan memasukkan Wataru Endo sebagai pengganti Jarrell Quansah. Ini selepas bek tengah muda The Reds itu mengalami kecederaan dan tidak dapat meneruskan permainan.
Kedua-dua pasukan berusaha memburu gol pendahuluan tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, Liverpool terus memberi tekanan ke atas penjaga gol baharu Spurs dari Republik Czech, Antonin Kinsky.
The Reds bernasib baik tidak ketinggalan pada minit ke-56. Porro berusaha melambungkan bola ke arah gawang Liverpool selepas melihat Alisson keluar tetapi percubaannya tersasar.
Liverpool seakan buntu apabila setiap percubaan mereka dinafikan Kinsky. Situasi ini mendorong Arne Slot memasukkan Luis Diaz, Trent Alexander-Arnold dan Darwin Nunez untuk memburu gol.
Tottenham menyangka mereka telah meraih gol pendahuluan menerusi Solanke pada minit ke-76. Malangnya, gol tersebut dibatalkan kerana kesalahan ofsaid.
Kem Spurs akhirnya ceria apabila Lucas Bergvall meledakkan gol kemenangan pada minit ke-86. Keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan ini menyaksikan Tottenham membawa bekalan satu gol menjelang aksi separuh akhir kedua di Anfield pada 7 Februari. Sofascore memilih Kinsky sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 8.5.
Kedua-dua pasukan kini beralih kepada saingan The Emirates FA Cup. The Reds dan Spurs masing-masing bakal berdepan Accrington Stanley dan Tamworth pada 11 dan 12 Januari ini.