Manchester City diangkat sebagai juara Carabao Cup setelah mengalahkan Arsenal dalam aksi final pada awal pagi Isnin.
Dalam perlawanan akhir yang diadakan di Stadium Wembley, dua jaringan Nico O’Reilly memastikan trofi Carabao Cup ke-9 buat Manchester City sekali gus mengakhiri impian Arsenal untuk bergelar juara.
Kedua-dua pasukan menurunkan barisan terbaik melainkan di posisi penjaga gol apabila Arsenal mempertaruhkan Kepa Arrizabalaga manakala James Trafford mengemudi gawang Manchester City.
Gol pertama terhasil selepas sejam aksi berlangsung apabila kesilapan Kepa Arrizabalaga yang terlepas bola dari dakapan ditanduk cantik oleh Nico O’Reilly untuk jaringan pembukaan buat City.
4 minit berselang, pertahanan berusia 21 tahun ini sekali lagi menanduk masuk hantaran silang Matheus Nunes sekali gus menceriakan para penyokong Manchester City di Wembley.
Perlawanan berakhir dengan kemenangan 2-0 memihak Manchester City sekali gus menjulang trofi Carabao Cup buat kali ke-9 dalam sejarah kelab.