Liverpool dan Manchester United terpaksa akur berkongsi satu mata dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) pada awal pagi Isnin.
Turun dengan status hebat sebagai pendahulu liga, Liverpool menjadi pasukan pilihan ramai untuk memenangi aksi kali ini tatkala Manchester United sedang bergelut mencari prestasi sebenar.
Manchester United turun dengan formasi 3-4-3 dalam usaha mengekang serangan lawan diketuai oleh Bruno Fernandes manakala gandigan Mo Salah dan Luis Diaz jadi taruhan oleh Liverpool.
Tiada sebarang jaringan terhasil di babak pertama meskipun permainan dikuasai oleh pasukan tuan rumah dengan Cody Gakpo dan MacAllister berpeluang untuk meledak gol buat Liverpool.
Tidak kurang hebatnya, United juga hampir menjaringkan gol pertama perlawanan sebelum disia-siakan oleh Amad Diallo dan juga Rasmus Hojlund untuk aksi berakhir tanpa jaringan.
Separuh masa pertama tamat, Liverpool 0-0 Manchester United.
Bersambung babak kedua, United terlebih dahulu di hadapan menerusi Lisandro Martinez yang melepasi perangkap ofsaid sebelum melepaskan percubaan kencang mengatasi Alisson pada minit ke-52.
7 minit berselang, Cody Gakpo menceriakan penyokong tuan rumah dengan satu jaringan padu menewaskan Andre Onana dan tiga lagi pertahanan Manchester United untuk mengikat kedudukan.
The Reds kemudian dihadiahkan sepakan penalti selepas bola mengenai tangan Matthijs de Ligt dan tendangan itu dengan mudah disudahkan oleh ayam tambatan, Mo Salah di minit ke-70.
Ketika di lewat aksi, Amad Diallo muncul wira United dengan satu gol penyamaan selepas tenang menampan hantaran lintang Alejandro Garnacho dan menewaskan Alisson buat kali kedua.
Aksi di Anfield berakhir dengan keputusan 2-2.
Selepas ini, Liverpool bakal berdepan ujian Spurs dalam aksi EFL Cup pada 9 Januari manakala Manchester United akan memberi fokus kepada saingan Piala FA menentang Arsenal minggu hadapan.