Advertisement
Josh Brownhill Pacu Burnley Ke Puncak Liga
Eropah
MakanBola
Burnley FC

Josh Brownhill membantu pasukannya, Burnley muncul pendahulu Liga Kejohanan dengan menewaskan Sheffield Wednesday 2-0.

The Clarets yang dibimbing Scott Parker memburu kemenangan untuk membantu mereka merampas takhta liga daripada pencabar terdekat, Sunderland.

Beraksi di tempat lawan, Burnley menerima tekanan hebat daripada Wednesday yang mahu menjarakkan diri daripada kelompok tercorot liga.

Tatkala tuan rumah berusaha mencari gol pendahuluan, The Clarets membuka tirai jaringan pada minit ke-37 menerusi penyerang pinjaman Bournemouth, Jaidon Anthony.

Tersentak, The Owls yang dibimbing Danny Rohl berusaha mencari gol penyamaan pada separuh masa kedua tetapi tidak berhasil.

Sebaliknya, giliran Burnley menggandakan kelebihan mereka menerusi Brownhill pada minit ke-50. Pemain tengah yang didakwa berstatus warisan Malaysia itu melepaskan rembatan voli yang menewaskan penjaga gol tuan rumah, James Beadle.

Ini gol kelima Brownhill dalam 11 penampilannya dalam semua kejohanan untuk Burnley musim ini. Selain beliau, seorang lagi pemain didakwa berstatus warisan Malaysia iaitu Zian Flemming turut beraksi dalam perlawanan sama.

Kemenangan 2-0 ini membolehkan Burnley memiliki kelebihan dua mata di hadapan Sunderland dan Leeds United. The Clarets berpotensi kekal sebagai pendahulu sekiranya The Black Cats tewas kepada Hull City dalam aksi liga pada 20 Oktober.