Pengendali skuad bawah 19 tahun Malaysia, Juan Torres Garrido berpuas hati melihat peningkatan prestasi anak-anak buahnya setelah menundukkan Kemboja dalam aksi persahabatan pada petang Sabtu.
Dalam aksi itu, skuad muda negara dikejutkan dengan kebangkitan Kemboja meskipun sudah mendahului 2-0 di awal aksi sebelum dua gol di babak kedua memastikan kemenangan Malaysia 4-2.
Untuk rekod, ini merupakan pertemuan kedua melibatkan pasukan muda Kemboja dan Malaysia dalam tempoh 4 hari setelah kedua-dua negara terikat 2-2 dalam aksi pertama pada Rabu lalu.
Menurut Juan Torres, beliau merasakan permainan yang ditunjukkan anak-anak buahnya pada petang ini lebih baik berbanding aksi pertama pada Rabu lalu.
”Pada pendapat saya, secara keseluruhannya, ini adalah persembahan yang lebih baik berbanding aksi pertama tempoh hari,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.
”Para pemain sudah mula mendapat rentak dan tampil lebih bersedia dan saya sangat berpuas hati (dengan permainan hari ini),” tambahnya lagi.
Beliau turut menjelaskan tempoh singkat yang dimiliki mempengaruhi permainan untuk aksi pertama lalu dan kini dengan sesi latihan tambahan pada Khamis dan Jumaat menunjukkan peningkatan positif dalam corak pemain bermain.
”Untuk aksi pertama (Rabu lalu), kami hanya mempunyai dua hari latihan sebagai persiapan dan selepas berlatih untuk tempoh dua hari lagi (Khamis dan Jumaat), para pemain sudah mula mendapat rentak.”
Kemenangan ini sudah semestinya melonjakkan semangat para pemain muda negara sebelum berlepas ke Surabaya, Indonesia untuk menghadapi Kejuaraan B-19 Asean yang bakal membuka tirai 17 Julai hadapan.
Bagi kempen Kejuaraan B-19 ASEAN nanti, skuad negara akan membuka tirai aksi bagi kumpulan C berdepan Brunei pada 19 Julai dan Singapura tiga hari kemudian sebelum menutup aksi kumpulan berdepan Thailand pada 25 Julai.