Advertisement
Juan Torres: Qatar Beri Pengajaran Kepada Malaysia B-23
Harimau Malaya
MakanBola
FA Malaysia

Pengendali skuad Malaysia Bawah 23 Tahun (B-23), Juan Torres Garrido menyifatkan aksi persahabatan menentang Qatar memberi manfaat kepada anak buahnya.

Ini kerana perlawanan tersebut bukan saja mendedahkan barisan pemain Harimau Muda kepada tempo permainan pantas yang bakal dihadapi dalam saingan Piala Asia B-23 2024.

Malah, ini secara tidak langsung menunjukkan skuad negara perlu tampil lebih baik bila menentang lawan berkualiti dalam Kumpulan D.

Dengan aksi pertama Kumpulan D antara Malaysia dan Uzbekistan berlangsung pada 17 April ini, tempoh lapan hari ini mahu dimanfaatkan Garrido untuk memantapkan pasukan.

“Kita (Malaysia B-23) sudah beraksi dalam empat perlawanan (persahabatan) tetapi hanya dua saja dengan pasukan yang lengkap.

“Dan saya fikir dua perlawanan terakhir ialah satu ujian yang bagus (kepada skuad negara) terutama perlawanan terakhir (menentang Qatar).

“Itu meletakkan kita dalam senario yang kita akan hadapi (seperti) tempo permainan pantas dan lawan yang sangat bagus. Ianya amat bagus dari segi pengalaman.

“Dari segi persembahan, kita masih ada seminggu lagi untuk mantapkan pasukan. Secara keseluruhan, kita sudah tahu apa yang kita perlu lakukan dan kekuatan kita.

“Jadi, ini sesuatu yang bagus buat kita sebelum kejohanan bermula,” katanya kepada Nadi Arena semalam.

Skuad Malaysia B-23 tiba di Qatar tanpa empat tonggak utama iaitu V. Ruventhiran, Rahadiazli Rahalim, Azam Azmi Murad dan Richard Chin.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menetapkan sasaran layak ke suku akhir Piala Asia B-23 sekaligus mengulangi pencapaian edisi 2018.

Skuad negara bakal membuka kempen kejohanan dengan menentang wakil Asia Tengah, Uzbekistan pada 17 April ini.