Sistem pengadilan sering kali menjadi sesuatu yang hangat diperdebatkan apatah lagi selepas keputusan yang dibuat itu menimbulkan kontroversi.
Itulah yang berlaku dalam perlawanan yang melibatkan pemain Negara, Junior Eldstal yang kini beraksi untuk Chonburi FC di Liga Thailand.
Perlawanan yang menemukan Chonburi FC dan Muangthong United FC berkesudahan dengan keputusan seri 3-3. Walaupun Chonburi berjaya mencuri 1 mata dari tuan rumah, namun mereka terpaksa berhadapan dengan situasi pengadilan yang dilihat sedikit kontroversi.
Insiden kontroversi itu berlaku pada minit ke-80 perlawanan selepas Junior Eldstal disyaki melakukan kekasaran kepada pemain lawan di dalam kotak penalti. Lebih memeritkan lagi, ketika itu pasukan Chonburi sedang mendahului Muangthong dengan kedudukan 3-2 sebelum pengadil menghadiahkan penalti kepada Muangthong.
Keputusan itu dibuat selepas meminta bantuan dari Video Bantuan Pengadil (VAR) walaupun Junior dilihat mendapatkan bola dan bukannya melakukan kekasaran kepada pemain lawan. Adisak Kraisorn yang mengambil sepakan penalti itu dengan mudah menyempurnakannya untuk kedudukan terikat 3-3.
Selepas tamat perlawanan, Junior Eldstal kelihatan kurang berpuas hati dengan keputusan pengadil yang mengadili perlawanan tersebut.
Beliau juga mengatakan bahawa tiada guna menggunakan VAR jika tidak tahu cara untuk menggunakannya.
Video insiden kontroversi melibatkan Junior Eldstal
Berdasarkan video tersebut kelihatan jelas Junior Eldstal tidak melakukan sebarang kekasaran sebaliknya beliau memenangi perebutan bola dengan baik.