Kedudukan Malaysia dan Myanmar dalam carta ranking FIFA ketika ini menjadi tumpuan menjelang aksi pertama ASEAN Hyundai Cup 2026.
Malaysia dan Myanmar bakal turun dalam aksi pembukaan kumpulan B ASEAN Hyundai Cup sambil membawa misi penting membuka kempen edisi 2026 dengan langkah kanan bagi memudahkan perjalanan ke babak seterusnya.
Skuad Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe hadir ke bumi Myanmar dengan persiapan singkat namun misi 3 mata kekal sebagai satu keutamaan dengan nama-nama seperti Paulo Josue, Azri Ghani serta Wan Kuzain jadi taruhan.
Menjelang aksi tumpuan ini, jurang ranking kedua-dua negara tampak mula menjadi bualan memandangkan Malaysia dianggap sebagai pasukan pilihan, mengambil kira posisi terkini pasukan Harimau Malaya dalam carta ranking FIFA.
Malaysia kini menduduki tangga ke-136 dunia, kekal seperti mana kemas kini ranking FIFA pada bulan Jun 2026, dengan mengutip 1086.22 mata, selepas tumbang dalam perlawanan terakhir menentang pasukan Vietnam Mac lalu.
Sementara, Myanmar pula 22 anak tangga di belakang Malaysia apabila berada di ranking ke-158 dunia ketika ini dan mengumpul 1009.39 mata, dengan dua kekalahan berturut-turut dialami bertemu Filipina dan Vietnam baru-baru ini.
Walaupun kedudukan ranking Malaysia dilihat lebih baik, namun itu bukan satu tiket buat pasukan Harimau Malaya memandang mudah cabaran anak-anak buah Jorn Andersen, dengan Myanmar bakal turun bersama sokongan padu peminat sendiri.
Aksi Myanmar vs Malaysia bakal berlangsung pada Sabtu, 25 Julai 2026 dengan sepak mula dijadualkan jam 6 petang waktu Malaysia di Stadium Thuwunna, Yangon.