Peminat bola sepak Malaysia bakal kempunan menonton aksi pertama Kumpulan B ASEAN Hyundai Cup antara pasukan itu dan Myanmar pada 25 Julai ini.
Berdasarkan semakan penyiar rasmi kejohanan yang dikongsikan ASEAN United FC, Malaysia masih belum memiliki penyiar rasmi untuk kejohanan berkenaan.
Ini berbeza dengan majoriti negara ASEAN sudah memiliki penyiar rasmi untuk ASEAN Hyundai Cup. Misalnya, peminat bola sepak di Brunei boleh berbuat demikian dengan menonton siaran Radio Televisyen Brunei (RTB).
Singapura pula mengumumkan Mediacorp sebagai penyiar rasmi kejohanan di negara itu. Peminat bola sepak Singapura boleh menonton perlawanan itu di Channel 5 atau MeWatch.
Hal ini menimbulkan rasa hairan dalam kalangan penyokong negara yang berharap dapat menonton ASEAN Hyundai Cup 2026 di kaca televisyen.
Seorang pengguna Instagram bernama Amirulaaizad merasa pelik mengapa Malaysia belum memiliki penyiar rasmi kejohanan. “Malaysia?” katanya di ruang komen.
Seorang lagi peminat bernama Alshaebul_ren juga hairan mengapa Malaysia masih belum memiliki penyiar rasmi kejohanan. “Malaysia tiada?” katanya.
Sekiranya Malaysia masih tidak memiliki penyiar rasmi apabila saingan ASEAN Hyundai Cup bermula, ia dilihat bakal mengecewakan peminat bola sepak negara yang mahu mengikuti perkembangan anak buah Tan Cheng Hoe.
Kem negara bakal mengharungi aksi pertama tanpa kelibat pemain tengah Kuala Lumpur City FC (KL City FC), Zhafri Yahya. Ini kerana hanya 25 pemain yang dibawa Cheng Hoe ke Yangon, Myanmar untuk aksi tersebut.