Jurulatih Al-Ahli Lega Lepasi Halangan Getir JDT
MakanBola
Al-Ahli FC

Pengendali Al-Ahli, Matthias Jaissle mengakui merasa lega kerana berjaya melepasi tentangan Johor Darul Ta’zim (JDT) di peringkat suku akhir Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE).

Aksi suku akhir menyaksikan anak buah Xisco Munoz memberi tentangan sengit kepada juara bertahan ACLE itu.

Malah, mereka turut mendahului menerusi gol sendiri Ali Majrashi. Meskipun kemudiannya beraksi dengan 10 pemain, itu tidak menghalang Al-Ahli meraih kemenangan menerusi Franck Kessie dan Galeno.

Jaissle menyifatkan bukan mudah mengatasi lawan sukar seperti Harimau Selatan. Pada masa sama, mentaliti dan sokongan padu penyokong menjadi kunci buat Al-Ahli meraih kemenangan.

“Kita berjaya mara ke pusingan seterusnya (separuh akhir) dalam satu perlawanan yang sukar dan sengit selepas dikenakan kad merah.

“Bukan mudah menentang satu lawan yang kuat tetapi kita berjaya. Itu berlaku disebabkan mentaliti dan disiplin (kuat) daripada semua pemain di atas padang termasuk para penyokong.

“Justeru, kita dapat meneruskan kemaraan dalam kejohanan ini. Saya rasa kita berhak mendapatnya,” katanya seperti dilaporkan di laman sesawang rasmi Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Al-Ahli kini fokus memburu tiket final dengan turun menentang Vissel Kobe selepas ini. Kobe mara dengan menyingkirkan satu lagi kelab Asia Barat, Al-Sadd menerusi penentuan sepakan penalti.

Kemaraan Al-Ahli turut menjadikan pasukan itu satu-satunya wakil Arab Saudi yang masih tinggal dalam ACLE. Ini selepas kelab senegara, Al-Ittihad kecundang di tangan Machida Zelvia dalam satu lagi aksi suku akhir.