Jurulatih Buriram United Tetap Waspada Cabaran Selangor
MakanBola
Buriram United

Pengendali Buriram United, Mark Jackson tetap berwaspada dengan cabaran Selangor FC menjelang aksi final kedua Shopee Cup.

Merah Kuning terpaksa melupakan khidmat dua tonggak import Jordan, Noor Al-Rawabdeh dan Mohammad Abualnadi. Ini kerana kedua-dua pemain telah dipanggil menyertai kem latihan Al-Nashama sebagai persiapan ke Piala Dunia 2026.

Meskipun begitu, Jackson tidak melihat berita tersebut sebagai berita baik buat Buriram. Ini kerana beliau percaya pengendali Selangor, Kim Pan-gon sudah pasti memiliki rencana taktikal alternatif bagi mengatasi ketiadaan dua pemain tersebut.

Atas sebab itu, Jackson mahu anak buahnya menampilkan prestasi terbaik di gelanggang sendiri jika mahu mengekalkan gelaran juara Shopee Cup buat tahun kedua berturut-turut.

“Kami mempunyai idea yang baik tentang apa yang akan kami hadapi esok,” katanya seperti dilaporkan ASEAN United.

“Setiap pasukan boleh menyesuaikan diri dan mengusahakan pelbagai taktik yang berbeza, jadi kami perlu ambil kira tentang perkara itu.

“Bagi kami, inilah peluang sebenar untuk bermain di tempat sendiri dalam perlawanan akhir dan bermain dengan cara permainan kami. Itulah yang telah kami fokuskan dan usahakan minggu ini dan kami bersedia untuk perlawanan tersebut.”

Jackson turut merasa gembira kerana kembali mendapat khidmat penjaring terbanyak mereka musim ini, Guilherme Bissoli. Sebelum ini, Bissoli terpaksa melupakan aksi final pertama pada 20 Mei lalu kerana menjalani penggantungan perlawanan.

“Bissoli sudah kembali berlatih, jadi ia satu suntikan semangat besar buat kami. Seorang pemain dengan kualiti sebegitu, seorang pemain yang boleh menjaringkan gol pada tahap seperti beliau,” tambahnya.

Buriram berharap dapat mempertahankan kelebihan agregat 1-0 hasil jaringan Suphanat Mueanta. Buriram dan Selangor akan berentap dalam aksi final kedua di Stadium Buriram pada 27 Mei ini.