Selangor FC bakal berdepan Buriram United dalam aksi final kedua Shopee Cup tanpa kelibat dua tonggak utama.
Dua tonggak utama yang dimaksudkan ialah dua pemain import Jordan, Noor Al-Rawabdeh dan Mohammad Abualnadi. Ketiadaan dua pemain ini dikongsikan oleh wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
Zulhelmi memaklumkan Noor dan Abualnadi terpaksa melupakan aksi tersebut kerana menyertai kem latihan Jordan menjelang Piala Dunia 2026. Beliau turut memuat naik gambar dua pemain tersebut menjalani latihan bersama Al-Nashama.
“Selangor dijangka tanpa Noor Al-Rawabdeh dan Abualnadi untuk aksi timbal balik final Piala Shopee bertemu Buriram United, kedua-duanya sudah lapor diri ke kem latihan Jordan menjelang Piala Dunia,” katanya di X.
Ketiadaan dua pemain ini dijangka mendorong jurulatih Selangor, Kim Pan-gon merencana pelan alternatif untuk mengatasi kelebihan agregat yang dimiliki Buriram.
Buriram memiliki kelebihan satu gol hasil jaringan Suphanat Mueanta dalam aksi final pertama di Stadium MBPJ pada 13 Mei lalu.
Semakan di platform rasmi Persatuan Bola Sepak Jordan (JFA) menyaksikan tiga bekas tonggak import Liga Malaysia (Liga M) turut dipanggil jurulatih pasukan itu, Jamal Sellami.
Mereka ialah Ali Olwan, Mahmoud Al-Mardi dan Yazan Al-Arab. Ali dan Yazan masing-masing pernah menyarung jersi Selangor sebelum kini beraksi untuk Al-Sailiya dan FC Seoul.
Mahmoud pula pernah mewakili Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada separuh kedua musim 2022. Beliau kini kembali mewakili Al-Hussein SC selepas berkelana secara pinjaman ke Dibba FC pada tahun 2025.
Jordan bakal melalui dua aksi pemanas badan sebelum Piala Dunia 2026. Mereka akan bertemu dengan Switzerland pada 31 Mei dan Colombia (7 Jun).