Ketua jurulatih Indonesia, John Herdman mengakui anak buahnya tidak mempamerkan aksi terbaik ketika dibelasah Vietnam 0-3 dalam saingan Kumpulan A, ASEAN Hyundai Cup 2026.
Menurut Herdman, pasukannya terlalu mudah melepaskan gol pada awal permainan dan gagal mengawal rentak sehingga memberi kelebihan kepada Vietnam untuk mendominasi perlawanan.
“Saya masih dipenuhi pelbagai emosi selepas perlawanan ini dan belum sempat membuat analisis secara menyeluruh. Tetapi secara keseluruhannya, pasukan Indonesia tidak bermain dengan baik.
“Gol hadir sebelum 15 minit dan ia berlaku dengan terlalu mudah. Kami bermain secara ofensif tetapi perlu melakukan transisi dengan lebih baik serta mengawal bola dengan lebih kemas. Kesilapan hari ini adalah sesuatu yang perlu kami jadikan pengajaran,” jelas Herdman seperti yang dilaporkan TheThao247.
Herdman turut menyifatkan kekalahan itu sebagai satu keputusan yang sukar diterima, namun percaya pasukannya masih mempunyai peluang untuk memperbaiki keadaan dalam aksi terakhir peringkat kumpulan ASEAN Hyundai Cup 2026.
“Kekalahan ini memberi kami banyak pengajaran. Ia bukan keputusan yang kami inginkan, tetapi inilah bola sepak. Saya ingin memohon maaf kepada semua penyokong yang terus memberikan sokongan sehingga wisel penamat. Indonesia masih mempunyai satu lagi perlawanan dan kami akan memberikan yang terbaik,” ujarnya.
Indonesia kini wajib menewaskan Singapura dalam aksi terakhir Kumpulan A sekiranya mahu terus menghidupkan peluang mara ke peringkat separuh akhir ASEAN Hyundai Cup 2026.